Kira-kira 5,000 Kanak-Kanak Hidap Penyakit Jantung

MalaysianKids
Pic source : http://www.makchic.com/

GEORGETOWN – Kira-kira 5,000 remaja bawah 18 tahun didiagnosis menghidap penyakit jantung sejak lahir di Malaysia pada 2013.

Komander St John Ambulans Pulau Pinang, Datuk Dr Yee Thiam Sun berkata 34.3 juta pesakit di seluruh dunia menghidap penyakit jantung sejak lahir dalam tahun yang sama.

Beliau berkata pesakit yang menghidap penyakit jantung sejak lahir memerlukan sokongan paling canggih dan berteknologi tinggi untuk kembali pulih.

“Bagaimanapun, tidak ramai yang mampu membayar kos perubatan untuk bantuan perubatan dari hospital. Mereka memerlukan beribu-ribu ringgit untuk membayar kos pembedahan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, St John Ambulans Pulau Pinang dan MediAssist4U Sdn Bhd menandatangani memorandum persefahaman bagi program “Selamatkan Jantung”.

Tujuan utama program tersebut ialah untuk menyediakan bantuan perubatan kepada kanak-kanak bawah 18 tahun yang menghidap penyakit jantung sejak lahir dengan menghantar mereka ke Hospital Narayana di Bangalore, India.

Sementara itu, pengarah perubatan MediAssist4U Dr Patrick Justin Lawrence berkata hospital Narayana diiktiraf bagi perkhidmatan perubatannya daripada segi kardiologi.

Beliau berkata kemungkinan kejayaan dalam pembedahan kardiotorasik ialah hampir 100 peratus dan kadar pemulihan adalah cepat sekali dan amat menakjubkan.

“Satu daripada manfaat utama hospital ini ialah ia dimiliki oleh pakar bedah kardiotorasik yang terkemuka Dr Devi Shetty, yang juga bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada program kami.

“Juga, purata tempoh pesakit berada di unit rawatan rapi (ICU) ialah kira-kira 3 hingga 4 hari sahaja, dan ia mengambil masa kira-kira dua minggu untuk pesakit kembali normal dan sihat seperti anda dan saya,” katanya.

Program tersebut berkuatkuasa mulai 1 Februari hingga akhir Januari 2017. – Bernama

Source : http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/kira-kira-5-000-kanak-kanak-hidap-penyakit-jantung-1.487515